Rasanya selesai sudah pementasan yang penuh bersejarah pada tahun ini. Sempat juga lah aku pergi menonton Teater P.Ramlee The Musical yang tak malu jika dikatakan ia bertaraf antarabangsa. Mulanya agak kecewa bila semua tiket habis dijual terutama yang berharga RM30 dan RM50. Dalam hati aku tak hairan sangat sebab bukan aku sorang je yang nak tengok malah aku percaya yang seluruh warganegara Malaysia nak menontonnya jika diperi peluang. Tapi alhamdulillah bila aku terbaca keratan akhbar yang mengatakan teater ni disambung lagi sehari atas permintaan orang ramai, terus aku kelam kabut pergi booking tiket. Berpeluh satu hari tu untuk dapatkan tiket tapi tak dapat sebab semua tiket tu dah tak boleh book pakai online atau mobile. Last2 aku nekad utk pergi sendiri ke Istana Budaya, tak kisahlah aku kena sujud merayu kat hadapan kaunter tiket pun. Janji aku dah tak nak kecewa sama cam tahun2 dulu yang tak dapat tengok Puteri Gunung Ledang The Musical. Huhuhu. Lagipun pun, Sean Ghazi dan Siti Nurhaliza ni salah satu daripada artis favorite aku. Finally, I got the ticket. Walaupun harga RM150, tapi tak kisah lah sbb bapak aku yang sponsor & mak aku dah bagi restu. Hahaha…..lagipun dapat student price.
So, 1hb November adalah tarikh yang aku pergi tonton teater tu. Kalau ikutkan plan aku nak tgk the last day (3 Nov) tapi disebabkan takut tak blh tido sbb fikirkan teater ni, aku tukar tarikh tu. Risau jugak sebab ni la kali pertama aku tgk teater kat IB, antara 10 pangggung terbaik di dunia. Dah la tgk sorang2, rasa jugak kejanggalannnya. Tapi aku motivate kan diri aku yang aku ni bukannya artis dan bukan nye ada orang kenal aku.
Disebabkan takut terlewat aku bertolak dari kolej jam 4 petang. Risau takut jam, lagipun naik kenderaan awam. Nak pergi pakai transport sendiri takut sesat jln, lagi la rugi. So, sekali lagi aku terpaksa berkorban dan mintak bantuan daripada member aku utk jemput ambil bila selesai nanti sbb dijangka jam 11.45 pm baru tamat. Sampai jer kat sana aku jadi ilang arah. Bukan apa kul 6 pm dah sampai padahal teater start jam 8.30 pm. X nak bazirkan masa aku meronda kat kawasan IB jap. Untung jugak sebab masa lalu kat Lambang Sari aku nampak Sean Ghazi tengah mekap. Liza Hanim pun masa tu tgh pakai rambut palsu. Dan ramai lagi la crew2 dorang tgh bersiap-siap. Rindu pulak kat saat2 kitaorg buat pementasan dulu. Sebelum belah dari situ sempat gak aku melambai tangan kat Sean Ghazi & Liza Hanim. Diaorang pun balas blk sambil senyum kat aku. Kalau macam ni, x yah tgk teater pun x per. Hehehe….
Untuk mengisi perut yang kosong ni, aku menebalkan muka pergi kafe IB. Maklumlah makan sorang2. Sepinggan mee & satu tin Lemon tea cukup lah, bukannya lapar sangat pun. Nasib baik aku pilih meja yang hujung ni, bertentangan dgn meja Adlin Aman Ramlie & Zahim Al-Bakhri. Drg rancak berborak dgn seorang prmpn rambut pendek ni yg skali tengok mukanya iras2 Sharifah Armani. Bila dah lama lepak kat café ni baru aku perasan yang hampir 80% customer yang datang semuanya daripada pelakon2 & crew2 P. Ramlee The Musical. Sempat juga jumpa dengan Raja Maliq, pereka set dan props untuk teater ni. Rasa macam aku pun salah sorg daripada mereka. Setelah rasa dah cram punggung ni, aku kluar utk melihat keadaan di luar. Terpegun tgk orang ramai yang datang. Ada yang berpakaian ala-ala Saloma dan rata-rata berpakaian kasual cam aku. Tapi apa yang membuatkan aku rasa bangga ialah bila dapat melihat ramai penonton yang datang daripada pelbagai bangsa termasuk la mat saleh2. Lebih kurang 15 minit sebelum bermula, kami dibenarkan masuk. Aku akhirnya ditegur oleh seorang datin yang duduk di sebelah aku. Dia tanya sama ada aku sorang atau dengan kawan. Bila aku jelaskan yang kawan2 semua tak nak datang, dia terus meluahkan perasaan tak puas hati ngan anak2 muda zaman sekarang. Katanya mereka sekarang tak suka benda-benda tradisi macam ni. P. Ramlee pun entah diaorang kenal ke tidak. Aku senyum jer, malas nak comment sbb aku sendiri pun x berapa minat dengan P. Ramlee kecuali lagu2 yang dinyanyikan semula oleh artis2 sekarang. Honestly aku ckp, aku tgk teater ni pun bukan sebab nak tahu kisah P.Ramlee tapi sebab aku tahu kehebatan produk dari Enfiniti Production ni dan usaha gigih Datin Tiara Jaquelina atas kejayaan PGL beberapa tahun lepas. Setelah lama menunggu, kebanyakan penonton mula cemas sbb teater masih belum bermula walaupun jam menunjukkan 8.40 pm. Beberapa minit kemudian terdengar pengumuman mengalukan kedatangan Duli Yang Dipertuan Agong. Rata-rata yang hadir terkejut termasuklah 2 orang mat saleh depan aku ni. Dorang pulak yang lebih2 tepuk tangan. Skali lagi aku rasa bertuah sebab dapat tgk taeter ni bersama-sama dengan Agong.
Pementasan ni dimulakan dengan memaparkan babak P.Ramlee dan Saloma di zaman tuanya sambil mengalunkan piano dengan muzik Air Mata di Kuala Lumpur. Kemudian disusuli dengan zaman kanak-kanak P.Ramlee yang nakal dan selalu ponteng sekolah. Dalam masa yang sama beliau dikatakan bercinta dengan Azizah. Pada babak ni aku mula terpegun dengan set yang digunakan. Rumah kedai yang bertingkat dan boleh diubah-ubah ini menggunakan pelakon itu sendiri untuk merubah setiap set. Jadi penonton sekali pun tidak rasa terganggu dengan perubahan set tersebut. Pelakon kanak-kanak yang memegang watak Azizah tu comel sangat dengan rambutnya yang kerinting. Malah suaranya juga cukup baik semasa melontarkan lagu.
Mungkin saat yang paling dinantikan ialah semasa kemunculan Dato Siti Nurhaliza sebagai Azizah. Walaupun scene tersebut hanyalah sekejap, tapi cukup terasa apatah lagi semasa beliau menyanyikan lagu Mulanya Cinta. Vokalnya tak perlu lah nak dipertikaikan lagi sebab minah saleh yang kat blkg seat aku ni terlopong mulutnya masa Siti tgh nyanyi lagu tu. Bulu roma aku pun turut berdiri cuma mungkin nyanyiannya kurang beremosi hingga menyebabkan terasa hanya Sean Ghazi saja yang sedih kala saat mereka mahu berpisah.
Semasa di babak stesen keretapi, skali lagi aku tergamam. Bayangkan seolah-oleh kepala keretapi yang berasap betul2 muncul dpn mata. Perfect!!. Ditambah lagi dengan pelakon2 tambahan yang ramai dan sungguh bertenaga. Di sini, barulah aku nampak lakonan Sean Ghazi pada kelas A dan tidak berlebih-lebihan, malah tarian dan vokalnya juga berjaya disatukan. Perjalanan semakin bertambah seronok apabila watak Junaidah dan Junainah diperkenalkan. Gelabat kedua-dua mereka yang cuba untuk mencuri tumpuan P. Ramlee membuatkan semua penonton ketawa besar. Hampir semua babak yang memaparkan gelagat lucu sungguh menjadi dan tidak terasa ia seperti dibuat-buat.
Tirai putih yang selalu terbuka dan tertutup semasa pertukaran babak mungkin sedikit mengganggu tumpuan penonton tapi ia dapat di atasi dengan kemunculan dan telatah paparazzi yang sentiasa mencari berita2 terkini tentang P. Ramlee. Emosi penonton mungkin terusik pada saat di mana Junaidah mula terasa semakin jauh dengan suaminya P. Ramlee. Babak dimana Junaidah meminta dilepaskan betul2 cukup terasa di hati penonton walaupun ia hanyalah sekejap. Ditambah lagi pada emosi P.Ramlee sambil menyanyikan lagu Hujan Di Tengahari walaupun aku kurang suka kerana muzik asalnya diubah. Tapi mungkin boleh diterima jika alasannya adalah untuk menggambarkan lagi kesedihan yang dialami oleh P.Ramlee. Lagi pun suara Sean mmg menjadi dan kena pada tempatnya. Tidak lama selepas itu, penonton dikejutkan dengan kemunculan Melissa Saila sebagai Norizan sebelum tirai Intermission dilabuhkan. Pada masa ni penonton diberikan masa 15 minit untuk keluar sama ada menjamu kopi atau ke toilet. Hati aku sedikit terusik bila melihat pasangan mat saleh yang tak mahu keluar dari Panggung Sari, alasannya takut terlewat masuk dan terlepas scene. Wah…hebat skali mereka menghayati teater ni. Semasa di luar panggung, aku sempat mencuri dengar perrbualan beberapa penonton termasuk beberapa orang nenek tua ni. Kagum betul dengan nenek-nenek ni yang membincangkan pasal props, pelakon, busana and lagu-lagu dalam teater ni dengan cara serius skali. Dalam hati aku, may be mrk ni dari kalangan bangsawan teater kut.
Disebabkan terlalu teruja untuk mengetahui kisah selajutnya, aku terus melulu masuk ke Pangung Sari hinggakan hampir terlanggar dengan mamat sorang ni. Tapi muka dia agak familiar. Setelah diamati baru lah dapat agak, abang Nas dari TV3 rupanya. Patutla ada guide dari IB kat blkg dia. Tirai dibuka dengan memaparkan set di sebuah kelab mewah. Pada masa ini P.Ramlee dan Norizan digambarkan baru sahaja berkahwin. Aku mula tertarik dengan kostum yang dipakai oleh penari-penari kabaret dan Melissa Saila. Ia mungkin utk menunjukkan taraf social pada watak Norizan itu sendiri. Tapi bila diamati semula, kebanyakan busana atau kostum yang diguna dalam teater ini mmg melatop! Pada ketika Saloma hampir menghabiskan nyanyiannya, pentas kelihatan semakin mengecil. Seaolah-olah kamera yang sedang zoom out. Mmg mengagumkan kerana pada mulanya aku ingat kan mata aku yang ada masalah rupanya mmg stage tersebut bergerak.
Aku mula terpukau dengan lakonan Melissa Saila sewaktu beliau sedang bertengkar dengan P. Ramlee. Pergerakan tubuh semasa meluahkan rasa marahnya terhadap P.Ramlee melalui lagu Sudah Tidak Bermakna sungguh sempurna dan menjadi. Malah penonton juga terpukau dengan dress labuh berwarna hitam yang dikenakan beliau. Tidak mahu penonton terus dibuai dengan perasaan sedih yang dialami P.Ramlee, penonton diajak utk ketawa menyaksikan gelagat P. Ramlee dan Saloma memadu kasih. Semua penonton begitu terhibur dan tak kering gusi dibuatnya walaupun kebanyakan aksi-aksi mereka sudah selalu kita tgk di dalam filem-filem P. Ramlee sebelum ini. Tapi disebabkan ianya live ditambah dengan lakonan mantap dan serasi Sean Ghazi bersama Liza Hanim, ia berjaya menghidupkan cerita. Apatah lagi dengan suara lunak merdu Liza Hanim yang membuatkan penonton diam membisu. Sesungguhnya tiada siapa yang berjaya menyanyikan lagu Saloma dengan baik selain beliau. Cuma di akhir pementasan cerita ini, mungkin ramai yang tidak mahu ia selesai dengan begitu. Paling tidak pun, happy ending. Tapi sekurang-kurangnya tidak ramai yang boleh mengagak kesudahan cerita ini sekaligus mengelakkan kita terbiasa dengan kesudahan cerita –cerita biasa.
Keluar sahaja dari Panggung Sari, hati terasa puas. Tidak rugi habiskan duit untuk dapatkan tiket dan datang sorang diri untuk menyaksikan teater P. Ramlee The Musical. Kalau sebelum ini aku langsung tak tahu perjalanan hidup seniman agung P.Ramlee, sekarang aku blh berbangga. Usaha yang dilakukan oleh Enfiniti Production ini sekurang-kurangnya memberi ruang kepada masyarakat khususnya golongan muda dan masyarakat luar untuk mengenali, merasai dan menghayati usaha-usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau. Terima kasih juga kepada mak cik yang duduk disebelah kerusi aku kerana tidak jemu-jemu menceritakan kisah P.Ramlee pada aku. Cuma apa yang aku kurang puas hati ialah berkenaan dengan ulasan daripada beberapa wartawan yang tak puas hati dengan teater ni sebab tidak menggunakan lagu-lagu P. Ramlee dengan sepenuhnya. Bagi aku isu ini tidak perlu timbul kalau wartawan tu sendiri faham apa yang dimaksudkan dengan teater musical. Bukan senang untuk memasukkan semua lagu-lagu P.Ramlee dalam satu pemetasan teater, ia memerlukan lebih masa. Ini kerana, tidak semua lagu-lagu tersebut sesuai dimasukkan kerana taeter musical ialah teater yang mana kebanyakan dialog dan ceritanya diluahkan dalam bentuk lagu. Jika semua lagu dicedok walaupun dari karya allahyarham untuk teater allahyarham sendiri, maka ia tidak dipanggil teater musical. Sekurang-kurangnya juga, tenaga produksi teater ini telah sedaya upaya untuk menyelitkan beberapa lagu P.Ramlee seperti Azizah, Engkau Laksana Bulan, Hujan Di Tengahari, Air Mata di Kuala Lumpur dan banyak lagi. Itu belum masuk lagi lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma yang sentiasa diputarkan di IB sepanjang tempoh menunggu pementasan.